BERLIN, 12 November- Jerman akan meningkatkan bantuan ketenteraan 2024 untuk Ukraine sebanyak 8 bilion euro ($8.5 bilion) dalam usaha membantu negara yang sedang dilanda konflik itu untuk menggulingkan tentera Rusia.
Menteri Pertahanan Jerman Boris Pistorius berkata langkah tersebut menunjukkan bahawa Jerman tidak pernah berputus asa mambantu Ukraine, meskipun perhatian masyarakat antarabangsa tertumpu kepada perang konflik Palestin-Israel.
"Peruntukan yang meningkat itu adalah tindak balas kepada pengalaman tahun ini yang menunjukkan bahawa jumlah yang dirancang telah habis dengan cepat", kata Pistorius menerusi siaran televisyen penyiaran Jerman, ARD.
Ukraine secara konsisten menuntut bantuan ketenteraan yang lebih tinggi daripada sekutu baratnya. Namun, serangan balas yang dilancarkan tahun ini telah gagal untuk mengusir tentera Rusia yang menakluk di selatan dan timur negara itu.
Kerajaan campuran Canselor Olaf Scholz mencapai persetujuan untuk menggandakan pakej bantuan awal, terutamanya terdiri daripada peralatan ketenteraan dan keputusan itu akan diluluskan secara rasmi dalam undian oleh penggubal undang-undang.
Jerman telah menjadi salah satu penyokong utama Ukraine sejak Rusia melancarkan pencerobohan besar-besarannya pada Februari tahun lalu dan memperuntuk 22 bilion euro dalam bentuk bantuan kemanusiaan, kewangan dan ketenteraan.-AFP