fb fb fb fb fb

Ratusan penunjuk perasaan berhimpun bantah Sidang APEC

FOTO AFP

SAN FRANCISCO, 13 November - Ratusan penunjuk perasaan daripada antikapitalis sehingga pro Palestin berkumpul dan berhimpun di San Francisco pada Ahad sempena Persidangan APEC bagi membantah blok dunia.

Para penunjuk perasaan berkenaan berarak melalui bandar AS menuntut agar peserta yang terlibat dalam forum berkenaan meletakkan manusia dan dunia mengatasi perniagaan.

"APEC merupakan satu bentuk penjajahan berbentuk neoliberal.

"Kami berhimpun di sini bagi memastikan mereka meletakkan manusia dan dunia sebagai perkara utama dalam isu yang sedang mereka bincangkan", kata Nik Evasco kepada AFP.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dijadualkan menjadi tuan rumah kepada 20 anggota APEC, sebuah pertubuhan yang memfokuskan perdagangan yang bakal didominasi oleh pertemuan antara pemimpin AS dan Presiden China selain konflik Hamas-Israel.

"Mereka merangka rundingan dengan cubaan membina ekonomi hijau, namun apa yang berlaku adalah mereka sedang mengeksploitasi sumber penting bagi keuntungan CEO korporat di AS," kata Evasco.

Perhimpunan itu juga turut menarik perhatian sebilangan penunjuk perasaan pro Palestin yang menggesa agar genosid dihapuskan di Gaza.

"Saya berada di sini sebagai menyokong solidariti bersama Palestin yang telah menderita akibat penjajahan dan genosid selama 75 tahun.

"Ia merupakan genosid. Pembunuhan beramai-ramai. AS yang menaja perkara tersebut. Itu adalah salah", kata salah seorang penunjuk perasaan, Eleonore Collect.

Collect turut berkata meskipun Israel bukan merupakan sebahagian anggota APEC, dia berasakan ia adalah masa yang sesuai untuk berdemonstarsi di San Francisco.

"Punca pembebasan rakyat adalah bergantung kepada masyarakat dunia. Jadi kesemuanya adalah saling berkaitan", kata Collect.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD