fb fb fb fb fb

Asia Selatan hadapi masalah kekurangan air-PBB

Kanak-kanak membawa tempayan berisi air yang dikumpulkan dari perigi kering, di kampung Koli, Maharashtra, India barat/FOTO REUTERS

NEW DELHI, 13 November - Lebih ramai kanak-kanak di Asia selatan sedang bergelut akibat kekurangan air yang diburukkan lagi dengan kesan perubahan cuaca berbanding di kawasan-kawasan lain di dunia, menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin.

"Seramai 347 juta kanak-kanak di bawah umur 18 tahun terdedah kepada kekurangan air yang sangat tinggi di Asia Selatan.

"Jumlah itu antara tertinggi di antara semua wilayah di dunia," kata agensi kanak-kanak PBB itu dalam satu laporan.

Asia Selatan yang terdiri daripada lapan negara iaitu Afghanistan, Bangladesh, Bhutan, India, Nepal, Maldives, Pakistan dan Sri Lanka merupakan tempat tinggal kepada lebih satu perempat daripada kanak-kanak dunia.

"Perubahan iklim mengganggu corak cuaca dan taburan hujan yang membawa kepada ketersediaan air yang tidak dapat diramalkan,” kata PBB dalam laporannya.

Laporan itu turut menyebut kualiti air yang lemah, kekurangan air dan salah urus seperti pengepaman berlebihan akuifer antara faktor utama kepada kekurangan jumlah air.

"Apabila telaga di kampung menjadi kering, beberapa fasiliti seperti rumah, pusat kesihatan dan sekolah semuanya akan terjejas.

"Dengan iklim yang semakin tidak menentu, kekurangan air dijangka menjadi lebih teruk bagi kanak-kanak di Asia Selatan," tambah UNICEF.

Pada persidangan iklim PBB COP28 di Dubai, tahun lalu, UNICEF menyeru para pemimpin bagi menjadikan bumi sebagai tempat yang boleh didiami.

"Air selamat adalah hak asasi manusia," kata Sanjay Wijesekera, ketua UNICEF untuk Asia Selatan.

"Namun berjuta-juta kanak-kanak di Asia Selatan kekurangan air untuk minum di rantau yang dilanda banjir, kemarau dan cuaca ekstrem lain, yang diakibatkan perubahan iklim", ujar Wijesekera.

Tahun lalu, 45 juta kanak-kanak kekurangan akses kepada perkhidmatan air minuman asas di Asia Selatan melebih daripada mana-mana rantau lain.

Namun, UNICEF berkata jumlah itu dijangka dikurangkan kepada separuh menjelang 2030 susulan perkhidmatan dan teknologi yang berkembang pesat.

Selain Asia Selatan, benua Afrika turut berisiko megalami masalah serupa dengan 130 juta kanak-kanak dijangka mengalami masalah kekurangan air yang teruk menurut laporan berkenaan.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD