fb fb fb fb fb

Dua aktivis politik muda Thailand tamatkan mogok lapar

(FOTO AFP)

BANGKOK, 11 Mac - Dua penunjuk perasaan muda Thailand yang menghadapi tuduhan fitnah diraja hari ini mengumumkan mereka menamatkan mogok marathon berikutan bimbang mengalami kegagalan organ selepas dimaklumkan doktor.

Tantawan 'Tawan' Tuatulanon, 21 dan Orawan 'Bam' Phupong, 23 memulakan mogok lapar sejak 18 Januari lalu bagi menggesa parti politik menyokong pemansuhan undang-undang menghina institusi diraja iaitu antara paling keras di dunia.

Pada Rabu lalu ia menandakan hari ke-50 protes aktivis wanita muda itu. Mereka dibebaskan daripada tahanan bulan lalu disebabkan keadaan kesihatan mereka yang semakin merosot.

(Dua penunjuk perasaan muda Thailand yang menghadapi pertuduhan fitnah diraja
mengumumkan bahawa mereka menamatkan mogok lapar maraton berikutan
kebimbangan doktor mereka boleh mengalami kegagalan organ / FOTO AFP)

"Saya dan Bam mahu memberitahu orang awam bahawa kami sudah menamatkan mogok lapar demi nyawa dan terus berjuang," kata Tawan melalui catatan Facebook, hari ini.

Katanya, kakitangan perubatan bimbang keadaan buah pinggang serta organ lain mereka terjejas berikutan terlalu lama tanpa makanan dan air.

Catatan di media sosial itu sekali gus mengesahkan mereka dalam keadaan sedar dan boleh berkomunikasi.

Kedua-dua aktivis didakwa atas tuduhan memfitnah Raja atas dua protes berasingan di Bangkok pada 2022.

Mereka yang disabitkan bersalah berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun atas setiap pertuduhan bawah undang-undang yang dikatakan kumpulan hak asasi manusia digunakan untuk menghancurkan perbezaan pendapat politik.

Peguam Thai untuk Hak Asasi Manusia berkata lebih 200 orang didakwa di bawah 'lese majeste' termasuk sekurang-kurangnya 17 kanak-kanak bawah umur, sejak protes prodemokrasi pada 2020.

Bangkok digegarkan oleh protes besar-besaran yang diketuai golongan muda yang membuat tuntutan yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk reformasi monarki Thailand.

Warga Thailand dijangka keluar mengundi pada Mei depan.

Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha yang memegang tampuk pemerintahan selepas rampasan kuasa pada 2014, merayu kepada keluarga wanita supaya memantau tingkah laku mereka.

Parti pembangkang utama Thailand, Pheu Thai tidak menyokong gesaan Tantawan dan Orawan untuk pembaharuan, kelihatan enggan terjerat dalam persoalan yang sangat sensitif mengenai monarki yang begitu hampir dengan pilihan raya.

Seorang lelaki dipenjara dua tahun pada Selasa lalu kerana menjual kalendar satira yang memaparkan itik getah kuning yang diputuskan mahkamah menghina Raja.-AFP

Media Baharu