fb fb fb fb fb

Tentera Pakistan tembak jatuh 25 dron India

Kesan serangan di Pakistan

ISLAMABAD, 10 Mei- Tentera Pakistan telah menembak jatuh 25 dron buatan Israel milik India, susulan konflik antara Pakistan dan India.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif berikrar untuk membalas tindakan India yang melancarkan serangan peluru berpandu pada Rabu, sekali gus mencetuskan peningkatan ketegangan kedua-dua negara.

Sekurang-kurangnya 45 kematian dilaporkan dari kedua-dua belah pihak akibat serangan itu termasuk dalam kalangan kanak-kanak.

Tentera Pakistan dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan berkenaan telah menembak jatuh 25 dron buatan Israel di beberapa lokasi seluruh negara itu.

"India sekali lagi menunjukkan tindakan pencerobohan dengan menghantar dron ke pelbagai lokasi malam tadi," kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry.

Dron berkenaan turut menyasarkan ibu pejabat tentera di Rawalpindi dan telah mencederakan empat anggota dalam insiden itu.

"Sebuah dron sempat menyerang sasaran ketenteraan berhampiran Lahore," katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa operasi ketenteraan masih diteruskan.

Seorang orang awam dilaporkan terbunuh manakala seorang lagi cedera di wilayah Sindh akibat serangan dron tersebut.

Orang ramai dilihat berkumpul di lokasi nahas, termasuk berhampiran kem tentera, untuk melihat serpihan dron yang ditembak jatuh.

Letupan turut kedengaran di beberapa kawasan sekitar Lahore.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam memaklumkan Lapangan Terbang Karachi ditutup hingga pukul 6.00 petang waktu tempatan manakala lapangan terbang di Islamabad dan Lahore ditutup sementara atas faktor keselamatan operasi.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dalam satu perutusan menegaskan, beliau akan membela nasib rakyat yang terkorban dalam serangan itu.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI