SEPANYOL, 10 Mei- Lebih 150,000 penduduk lima bandar di wilayah Catalonia Sepanyol diberi amaran untuk tinggal di kediaman masing-masing pada Sabtu selepas kebakaran di kawasan perindustrian yang menyebabkan pencemaran klorin.
Pasukan bomba Catalan menunjukkan video anggota bomba cuba memadamkan kebakaran yang bermula di sebuah syarikat produk pembersihan kolam renang di Vilanova i la Geltru pada pukul 2.20 pagi waktu tempatan.
"Jika anda berada di zon terjejas, jangan tinggalkan rumah atau tempat kerja anda," menurut perkhidmatan Perlindungan Awam di media sosial X.
Tiada siapa yang cedera berhubung kejadian itu.
Penduduk di Vilanova i la Geltrú, Sant Pere de Ribes, Cubelles, Cunit dan Calafell dimaklumkan berkenaan perkara itu menerusi mesej telefon bimbit untuk kekal berada di dalam rumah.
Perkhidmatan kereta api yang sepatutnya melalui kawasan itu telah ditahan, jalan raya turut disekat dan acara lain juga ditangguhkan.
Bagaimanapun Jurucakap Perlindungan Awam Joan Ramon Cabello memaklumkan kebakaran dapat dikawal.- Reuters