fb fb fb fb fb

Diddy nafi dua tuduhan baharu, perbicaraan Mei ini

Foto AFP

NEW YORK, 15 April- Usahawan muzik Amerika Syarikat, Sean "Diddy" Combs, mengaku tidak bersalah pada Isnin terhadap dua tuduhan baharu yang ditambah dalam kes jenayah pemerdagangan seks dan pemerasan yang dijangka dibicarakan bulan depan.

Tuduhan tambahan melibatkan satu lagi dakwaan pemerdagangan seks serta satu dakwaan membawa individu untuk tujuan pelacuran, melibatkan seorang wanita yang hanya dikenali sebagai "mangsa kedua" oleh pihak pendakwa.

Combs, 55, hadir di mahkamah Persekutuan di New York untuk menafikan tuduhan yang boleh membawa kepada hukuman penjara lebih lama, sekiranya didapati bersalah.

Pendakwa raya menyatakan sepanjang dua dekad lalu, Combs didakwa telah "menganiaya, mengugut dan memaksa wanita serta individu di sekelilingnya demi memenuhi kehendak seksual, menjaga reputasi serta menyembunyikan perlakuannya."

Dengan bantuan kakitangan dan sumber empayar perniagaannya, Combs dikatakan membina satu rangkaian jenayah yang terlibat dalam pelbagai kesalahan.

Antaranya, pemerdagangan seks, buruh paksa, penculikan, pembakaran, rasuah, dan menghalang keadilan.

Bintang hip hop itu juga dituduh melakukan penderaan seksual terhadap individu dan memaksa mereka menyertai pesta seks dengan pengaruh dadah serta ugutan, selain memaksa kakitangan bekerja berlebihan dan merahsiakan perbuatannya.

Combs telah menafikan semua tuduhan setakat ini dan perbicaraan dijangka bermula Mei ini dengan pemilihan juri.

Bagaimanapun, menurut media tempatan, salah seorang peguamnya, Marc Agnifilo, memaklumkan pada Isnin bahawa pihak pembelaan mungkin memohon penangguhan selama dua minggu bagi meneliti bukti baharu.

Hakim memberi tempoh dua hari kepada pihak pembelaan untuk mengemukakan permohonan itu secara bertulis.

Sejak hujung 2023, Combs telah berdepan pelbagai dakwaan terbuka, bermula dengan penyanyi Cassie atau nama sebenar, Casandra Ventura, yang mendakwa Combs telah memaksanya selama lebih sedekad melalui kekerasan fizikal, dadah dan merogolnya pada tahun 2018.

Selain kes jenayah Persekutuan, Combs turut berdepan pelbagai saman sivil yang mendakwa beliau melakukan penderaan dengan bantuan rangkaian pekerja dan sekutunya yang setia.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM