SEOUL, 14 April - Bekas Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol membela dirinya pada perbicaraan jenayah pertama atas tuduhan pemberontakan pada Isnin, dengan menyatakan bahawa tindakannya mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember lalu tidak boleh dianggap sebagai satu pemberontakan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Yoon tiba di Mahkamah Daerah Pusat Seoul menaiki kenderaan keselamatan berwarna hitam dan masuk melalui tempat letak kereta bawah tanah bagi mengelak perhatian awam.
Perbicaraan pertama bermula sejurus sebelum 10 pagi, dengan Yoon duduk di kerusi tertuduh dalam sut berwarna biru laut. Rakaman foto dan video oleh media tidak dibenarkan atas perintah mahkamah.
Yoon, yang pernah berkhidmat sebagai pendakwa raya tertinggi, berdepan tuduhan mengetuai pemberontakan melalui pengisytiharan singkat undang-undang tentera pada 3 Dis yang menyaksikan tentera dikerahkan ke Parlimen Korea Selatan dalam usaha yang didakwa bertujuan menghalang ahli parlimen daripada menggagalkan dekri tersebut.
Beliau telah didakwa oleh Parlimen beberapa hari kemudian dan dilucutkan jawatan pada 4 April selepas Mahkamah Perlembagaan sebulat suara mengekalkan pemecatannya.
“Kertas pertuduhan hanya menyenaraikan butiran siasatan mengenai apa yang berlaku dalam beberapa jam antara 10.30 malam pada 3 Dis dan 2 hingga 3 pagi,” kata Yoon selepas pihak pendakwaan membentangkan ringkasan pertuduhan.
“Adalah bertentangan dengan prinsip undang-undang untuk membina kes pemberontakan berdasarkan kertas pertuduhan yang menyerupai ringkasan insiden selama beberapa jam yang berakhir secara aman selepas menerima tuntutan Parlimen untuk menarik balik perintah itu,” tambah beliau.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan bahawa berdasarkan pandangan bekas presiden itu mengenai urusan negara dan persiapan menjelang pengisytiharan undang-undang tentera, Yoon didakwa “berniat memulakan rusuhan” dengan matlamat untuk “menumbangkan Perlembagaan.”
Pemberontakan merupakan jenayah yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup atau hukuman mati.
Sejak pemecatannya, Yoon telah berpindah keluar dari kediaman rasmi presiden di Hannam-dong, Seoul dan kembali ke kediaman peribadinya yang terletak kira-kira 10 minit berjalan kaki dari mahkamah.
Dua pegawai tentera yang terlibat dalam operasi undang-undang tentera hadir sebagai saksi dan mengesahkan bahawa mereka menerima arahan daripada pegawai atasan untuk memasuki Parlimen dan “menyeret keluar” ahli parlimen semasa tempoh singkat undang-undang tentera itu.
Mahkamah menetapkan perbicaraan kedua pada Isnin depan, dengan tiga perbicaraan dijadualkan setiap dua minggu. - BERNAMA-YONHAP