fb fb fb fb fb

AS kenakan duti antilambakan ke atas import tomato Mexico

Foto AFP

WASHINGTON, 15 April- Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengumumkan bahawa kebanyakan import tomato dari Mexico akan dikenakan duti antilambakan menjelang akhir tahun ini.

Ini selepas AS menamatkan perjanjian 2019 yang sebelum ini mengelakkan pengenaan cukai tersebut.

"Perjanjian semasa gagal melindungi pengusaha tanaman tomato AS daripada import tomato Mexico yang dijual pada harga tidak adil," kata Jabatan Perdagangan AS dalam satu kenyataan.

"Tindakan ini akan membolehkan pengusaha tanaman tomato AS bersaing secara adil di pasaran,” tambah kenyataan itu.

Dengan penamatan perjanjian tersebut, Jabatan Perdagangan akan melaksanakan perintah duti antilambakan pada 14 Julai, yang akan menyaksikan cukai sebanyak 20.9 peratus dikenakan ke atas kebanyakan import tomato dari negara jiran, Mexico.

Menurut data Jabatan Pertanian AS, Mexico merupakan pembekal utama tomato segar yang diimport ke AS.

Langkah terbaharu itu dibuat ketika Presiden Donald Trump, yang kembali ke White House mengenakan pelbagai tarif terhadap rakan dagang dan sektor tertentu AS.

Selain tarif menyeluruh terhadap keluli, aluminium dan kenderaan, Trump juga berusaha mengenakan cukai meluas bagi membetulkan apa yang didakwanya sebagai amalan perdagangan tidak adil.

“Perintah duti antilambakan dan imbangan memberikan peluang kepada perniagaan dan pekerja AS untuk mendapatkan keadilan daripada kesan buruk harga import yang tidak adil,” kata Jabatan Perdagangan.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM