TBILISI, 27 November - Nika Melia, pemimpin parti pembangkang Ahali-Coalition for Change, dijatuhi tambahan satu setengah tahun penjara selepas disabitkan kesalahan menghina mahkamah kerana membaling air ke arah hakim pada prosiding awal tahun ini.
Melia, yang telah dipenjara sejak Mei kerana enggan hadir siasatan Parlimen terhadap dakwaan jenayah bekas Presiden Mikheil Saakashvili, sebelum ini dijatuhi hukuman lapan bulan penjara. Video menunjukkan beliau membaling air dari botol plastik ke arah hakim.
Georgia, yang sebelum ini terkenal pro-Barat dan demokratik, kini dilihat semakin autoritarian, dengan parti pemerintah Georgian Dream mengetatkan tindakan terhadap pengkritik politik dan penunjuk perasaan.
Melia dan tujuh pemimpin pembangkang lain kini berdepan pertuduhan lebih serius termasuk merancang menjatuhkan kerajaan dan membantu kuasa asing, yang ditolak mereka sebagai bermotifkan politik.
Hubungan Georgia dengan Kesatuan Eropah turut tegang berikutan kebimbangan terhadap kemerosotan demokrasi, dengan Brussels menyatakan negara itu kini tidak lagi berada di landasan untuk menjadi anggota.-REUTERS