fb fb fb fb fb

Poland pilih Sweden bekal tiga kapal selam perkukuh pertahanan Laut Baltik

Timbalan Perdana Menteri Poland, Wladyslaw Kosiniak-Kamysz / REUTERS

WARSAW, 27 November - Poland mengumumkan pada Rabu bahawa ia memilih Sweden untuk membekalkan tiga kapal selam dalam satu perjanjian bernilai berbilion dolar, sebagai sebahagian usaha Warsaw memperkukuh pertahanannya di Laut Baltik.

Poland meningkatkan pelaburan ketenteraannya untuk menangkis ancaman yang dilihat semakin meningkat daripada Rusia susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada 2022. Perjanjian itu, di bawah program “Orka”, adalah antara pembelian ketenteraan terbesar setakat ini.

“Sweden membentangkan tawaran terbaik dari segi semua kriteria, masa penghantaran dan keupayaan operasi, khususnya di Laut Baltik,” kata Timbalan Perdana Menteri Wladyslaw Kosiniak-Kamysz pada sidang media. Beliau berharap perjanjian komersial dapat diselesaikan selewat-lewatnya suku kedua 2026.

Syarikat Sweden, Saab, yang menghasilkan pelbagai peralatan ketenteraan termasuk jet pejuang, sistem pengawasan, misil dan kapal selam, akan membekalkan kapal selam model A26 kepada Poland.

Warsaw turut menerima tawaran daripada Jerman, Itali, Perancis, Sepanyol dan Korea Selatan, manakala Britain memberikan sokongan kepada cadangan Sweden.

Pada September lalu, Saab menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama pertahanan bersama kumpulan senjata Poland, PGZ.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE