LONDON, 27 November - Menteri Kewangan Britain, Rachel Reeves, mengumumkan had dua anak bagi pembayaran bantuan kebajikan akan dimansuhkan pada April depan bagi membantu mengurangkan kadar kemiskinan kanak-kanak, satu langkah yang dijangka menelan kos 3.1 bilion pound menjelang 2029-30.
Beberapa ahli Parlimen daripada Parti Buruh telah lama menggesa penghapusan had itu, dengan alasan ia membebankan keluarga besar. Bagaimanapun, tinjauan baru-baru ini menunjukkan 59 peratus rakyat Britain menyokong had tersebut dikekalkan.
“Kami di pihak ini tidak percaya penyelesaian kepada sistem kebajikan yang bermasalah ialah menghukum kanak-kanak,” kata Reeves. “Dengan penghapusan had dua anak, kita akan mengangkat 450,000 kanak-kanak daripada kemiskinan.”
Had kebajikan itu diperkenalkan kerajaan Konservatif pada 2017 dan ia bermakna banyak keluarga berpendapatan rendah tidak menerima bantuan tambahan apabila mempunyai anak ketiga atau seterusnya. Langkah itu dianggarkan akan menambah manfaat kepada 560,000 keluarga dengan purata 5,310 pound setahun.
Reeves berkata kanak-kanak tidak seharusnya menanggung beban apabila keluarga menghadapi masa sukar, termasuk kematian ibu bapa, masalah kesihatan atau kehilangan pekerjaan.
Menurut statistik terkini, 15 peratus keluarga dengan anak bawah 18 tahun mempunyai tiga anak atau lebih, 41 peratus mempunyai dua anak, manakala 44 peratus mempunyai seorang anak sahaja.-REUTERS