fb fb fb fb fb

Detroit dilanda 'banjir beku' akibat paip air pecah

FOTO REUTERS

DETROIT, 23 Februari- Sebuah jalan di barat daya Detroit, Amerika Syarikat dilanda 'banjir beku' akibat paip air pecah ketika penurunan suhu mendadak pada 17 Februari lalu.

Pihak Berkuasa Air Great Lakes (GLWA) dalam kenyataan memaklumkan paip penghantaran air berdiameter 54 inci pecah di kawasan persimpangan Beard dan Rowan menyebabkan air melimpah sebelum membeku.

Laporan menyatakan di beberapa kawasan, paras air mencapai lima kaki, manakala kenderaan yang diparkir di tepi jalan dilaporkan beku sehingga ke tingkap.

Menurut pegawai bandar, sekurang-kurangnya 54 orang dewasa, 22 kanak-kanak dan 12 haiwan peliharaan telah diselamatkan pada hari kejadian.

Pasukan penyelamat kecemasan terpaksa menggunakan bot bagi membawa keluar penduduk terjejas, sementara beberapa keluarga dipindahkan ke hotel selepas bekalan elektrik dan air terputus di kediaman mereka.

Pengarah Jabatan Air dan Pembetungan Detroit, Gary Brown menyifatkan kejadian itu sebagai kebocoran paip air paling teruk pernah berlaku dengan cuaca sejuk melampau berkemungkinan menjadi punca kerosakan. -Reuters

SITI AISHAH MD ISA