BAITULMAQDIS, 23 Februari- Israel telah melakukan pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata Gaza, susulan kelewatan dalam pembebasan 620 tahanan Palestin.
Kumpulan ketujuh rakyat Palestin itu sepatutnya dibebaskan semalam, sebagai pertukaran dengan enam tebusan Israel.
Jurucakap Hamas Abdel Latif al-Qanou berkata Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sengaja menangguh dan melengah-lengahkan perjanjian tersebut.
"Kegagalan Israel untuk mematuhi pembebasan pada masa yang dipersetujui merupakan pelanggaran perjanjian terang-terangan yang sebahagian besarnya telah menghentikan pertempuran dahsyat selama lebih 15 bulan di Gaza", katanya dalam satu kenyataan.
Abdel Latif turut menyeru pengantara gencatan senjata untuk menekan Israel supaya melaksanakan mematuhi perjanjian tanpa berlengah-lengah atau halangan.
Sementara itu, di Tebing Barat dan dan Gaza, keluarga menunggu berjam-jam kepulangan insan tersayang dibebaskan daripada tahanan Israel sebagai pertukaran dengan enam orang Israel yang dibawa pulang.
"Menunggu adalah sangat sukar," kata Shireen al-Hamamreh, yang abangnya sepatutnya dibebaskan.
“Kami bersabar dan kami akan kekal lebih kuat daripada penjajah, insya-Allah,” katanya kepada AFP di bandar Ramallah, Tebing Barat.
Israel tidak memberikan sebarang alasan berhubung tindakan menangguhkan pembebasan ratusan tahanan Palestin.
Namun, menurut sumber Tel Aviv, perkembangan itu berlaku disebabkan rejim tidak berpuas hati kerana Hamas tersilap menghantar mayat tahanan Shiri Bibas.
Keputusan mengenai langkah seterusnya untuk melepaskan tahanan Palestin hanya akan diumumkan selepas perbincangan keselamatan oleh Netanyahu.
Dalam pada itu, serangan berterusan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 48,319 orang di Gaza, majoritinya orang awam, menurut angka dari Kementerian Kesihatan kendalian Hamas.-AFP