fb fb fb fb fb

Gaza lancar kempen vaksinasi polio kali ketiga

FOTO REUTERS

GAZA, 22 Februari - Gaza memulakan kempen vaksinasi polio kali ketiga pada Sabtu bagi memberi dos pertama kepada hampir 600,000 kanak-kanak di seluruh wilayah Palestin, lapor wartawan AFP.

Di sebuah masjid di Jabalia, utara Gaza, puluhan kanak-kanak berumur bawah 10 tahun menerima suntikan vaksin di tengah-tengah kesan kemusnahan akibat serangan ketenteraan Israel tahun lalu.

Kempen itu melibatkan pelbagai agensi PBB, termasuk Badan Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin (UNRWA) yang diboikot Israel.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyasarkan program ini selesai menjelang 26 Februari.

"Lebih 1,700 petugas UNRWA akan mengambil bahagian dalam kempen ini," kata Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, dalam satu hantaran di media sosial X. "Kempen ini dijalankan susulan pengesanan virus polio dalam sampel air sisa, yang membahayakan nyawa kanak-kanak."

Dua kempen sebelum ini telah dijalankan pada akhir 2024 selepas penyakit tersebut dikesan semula di Gaza buat pertama kali dalam lebih 20 tahun.

Selepas lebih 16 bulan perang antara Israel dan Hamas, keadaan kemanusiaan di Gaza semakin meruncing.

Kemudahan air musnah teruk, menyebabkan kumbahan bertakung di kawasan padat penduduk, membawa kepada penularan semula virus polio pada musim luruh lalu.

WHO melaporkan pada 19 Februari bahawa jejak virus polio sekali lagi ditemui dalam sampel air kumbahan di Gaza.

Seorang penduduk Jabalia, Bassam al-Haou, membawa anak-anaknya untuk mendapatkan vaksin. "Saya berharap gencatan senjata ini berkekalan dan anak-anak kita dapat hidup tanpa keganasan," katanya kepada AFP. - AFP

TETITIA YUSOFF