FOTO REUTERS
ARGUINEGUIN, 27 Januari - Pasukan penyelamat laut Sepanyol menyelamatkan lebih 300 orang migran yang cuba sampai ke Kepulauan Canary menggunakan bot usang.
Sembilan daripadanya berpaut pada sampan dalam keadaan separa tenggelam.
Terdapat laporan oleh kumpulan hak asasi manusia menyatakan ada mangsa yang lemas.
Menurut Helena Maleno, pengasas kumpulan pemerhati migran (Walking Borders), 18 orang maut ketika cuba merentasi lautan ke pulau Lanzarote dari Afrika.
Namun laporan itu tidak dapat disahkan.
"319 migran diselamatkan daripada 6 buah bot termasuk salah satunya yang membawa 120 penumpang," kata kenyataan pasukan penyelamat laut Sepanyol menerusi ciapan di Twitternya.
"Mereka dibawa ke Lanzarote dan Gran Canaria. 10 migran, termasuk seorang wanita mengandung dan seorang bayi dihantar ke hospital," tambah kenyataan itu.
Kepulauan di luar pantai Barat Afrika menjadi destinasi utama bagi migran yang cuba sampai ke Sepanyol.
Sebahagian kecil lagi cuba merentasi laut Mediterranean ke tanah besar Sepanyol.
Pada tahun 2021, sejumlah 22,316 migran sampai ke kepulauan Canary berbanding 23,271 orang tahun sebelumnya.
"Tahun lepas menjadi tahun paling sibuk dalam cubaan migran merentasi lautan," menurut data Kementerian Dalam Negeri Sepanyol.
Menurut Walking Borders, lebih 4,400 migran termasuk sekurang-kurangnya 205 kanak-kanak hilang ketika cuba merentasi lautan untuk sampai ke Sepanyol pada tahun 2021.
Angka itu telah meningkat dua kali ganda dari tahun 2020.