LIBYA, 11 Februari - Perdana Menteri Libya, Abdulhamid al-Dbeibah terselamat daripada cubaan bunuh oleh beberapa individu yang didakwa menembak kenderaannya.
Kejadian pada awal pagi itu berlaku beberapa jam sebelum Parlimen dijangka bersidang untuk melantik Perdana Menteri baharu.
Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika Abdulhamid pulang ke rumah dan pemimpin itu menyifatkan ia sebagai cubaan bunuh yang jelas.
Namun penyerang melarikan diri dan pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu.
Lapor Al Jazeera salah satu peluru menembusi cermin depan kereta Perdana Menteri, namun beliau dan pemandunya selamat dan tidak cedera.
Sumber berkata, peluru itu dilepaskan daripada senjata ringan dipercayai Kalashnikov.
Jika disahkan, cubaan membunuh Abdulhamid boleh memburukkan lagi krisis kepemimpinan negara itu selepas beliau berkata akan mengabaikan undian di Parlimen bagi menggantikannya.
Abdulhamid dalam ucapan minggu ini berkata, beliau hanya akan menyerahkan kuasa selepas pilihan raya namun Parlimen sebelum ini menyatakan tiada pilihan raya akan diadakan tahun ini. - AFP