fb fb fb fb fb

Cuba seludup keluar 87 ekor haiwan termasuk panda merah, Kastam Thailand cekup enam warga India

Panda merah yang ditemukan oleh Kastam Thailand ketika pemeriksaan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok / AFP

BANGKOK, 6 Mac- Kastam Thailand telah menahan enam warga India kerana cuba menyeludup seekor panda merah dan 86 haiwan lain termasuk ular, burung kakak tua dan biawak keluar dari negara itu.

Haiwan-haiwan tersebut ditemui disembunyikan di dalam bagasi suspek di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok ketika mereka hendak berlepas ke Mumbai.

Thailand sering menjadi hab transit utama bagi penyeludup hidupan liar, yang kemudiannya akan dijual di China dan Vietnam, walaupun beberapa tahun kebelakangan ini telah menyaksikan peningkatan dalam pemerdagangan ke India.

"Hasil pemeriksaan, kami mendapati sebanyak 87 ekor haiwan ditemukan termasuk 29 biawak, 21 ular, 15 burung, termasuk burung kakak tua. Kesemua haiwan itu disembunyikan di dalam bagasi," kata Jabatan Kastam dalam satu kenyataan.

Gambar yang dikeluarkan oleh jabatan itu menunjukkan panda merah, spesies terancam mengintai keluar dari bakul rotan, dan burung nuri ditutup dalam bekas plastik dengan lubang udara pada penutupnya.

Biawak disimpan dalam bekas plastik manakala ular dilihat bergelung di dalam beg kain.

Suspek berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau empat kali ganda jumlah duti import.

Bulan lalu seorang lelaki Mongolia ditahan di lapangan terbang yang sama kerana cuba menyeludup komodo, ular sawa dan berpuluh ikan hidup keluar dari negara itu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE