fb fb fb fb fb

Cuaca panas melampau, India keluar amaran merah

FOTO REUTERS

NEW DELHI, 29 Mei - Jabatan cuaca India mengeluarkan amaran tahap merah berikutan cuaca panas melampau di beberapa bahagian barat laut negara itu pada Rabu.

Amaran itu dikeluarkan selepas ibu kota Delhi mencatatkan suhu tertinggi iaitu hampir 50 darjah Celsius (122 Fahrenheit).

Kebarangkalian penduduk mendapat strok haba tinggi, menurut Jabatan Meteorologi India.

India dilanda cuaca panas melampau dan Jabatan Meteorologi India menjangkakan keadaan itu akan melanda ke beberapa bahagian lain.

India mengisytiharkan gelombang haba apabila suhu maksimum 4.5 C hingga 6.4 C lebih tinggi daripada biasa, manakala gelombang haba yang teruk diisytiharkan apabila suhu maksimum 6.5 C lebih tinggi daripada biasa atau lebih.

Stesen cuaca tempatan di kejiranan Mungeshpur dan Narela di Delhi mencatatkan suhu 49.9 darjah Celsius pada Selasa.

Kerajaan tempatan Delhi membuat sekatan berkala bekalan air kerana paras air di Sungai Yamuna iaitu sumber utama semakin berkurangan akibat cuaca terlalu panas.

"Saya merayu kepada semua penduduk bahawa sama ada terdapat masalah air di kawasan anda atau tidak, sila gunakan air secara berhemah," kata Menteri Air kerajaan tempatan Atishi.

Berbilion-bilion penduduk di seluruh Asia termasuk India, Pakistan mengalami musim panas melampau tahun ini.

Tiga lagi kematian dikaitkan dengan strok haba pada Selasa di Jaipur di negeri Rajasthan, lapor media tempatan, menjadikan jumlah korban di bandar itu kepada empat dan negeri itu sekurang-kurangnya 13. - REUTERS

TETITIA YUSOFF