DHAKA, 28 April - Berjuta-juta pelajar Bangladesh kembali meneruskan sesi pembelajaran selepas kerajaan negara itu membuka semula semua sekolah di negara berkenaan selepas ditutup susulan cuaca panas hujung minggu lalu.
Purata suhu maksimum yang dicatatkan di ibu negara, Dhaka menunjukkan peningkatan sebanyak 4 hingga 5 darjah celsius iaitu peningkatan berbanding 30 tahun lalu.
Penyelidikan saintifik mendapati perubahan iklim menyebabkan gelombang haba menjadi lebih panjang dan melampau.
Kelas-kelas dibuka dan disambung semula dengan ahli keluarga dilihat menemani anak-anak mereka ke pintu pagar sekolah untuk memulakan kelas bagi mengikuti minggu kerja Islam iaitu pada Ahad sehingga Khamis.
"Saya pergi ke sekolah bersama anak perempuan saya yang berumur 13 tahun. Dia gembira sekolahnya dibuka. Tetapi saya tertekan," kata Lucky Begum yang anak perempuannya mendaftar di sebuah sekolah kerajaan di sini.
"Keadaan cuaca terlalu panas", atanya kepada AFP. "Dia sudah mengalami ruam panas akibat berpeluh. Saya harap dia tidak sakit", ujar Begum.
Kira-kira 32 juta pelajar berada di rumah akibat penutupan sekolah, kata Save the Children dalam satu kenyataan minggu ini.
Pihak berkuasa Pendidikan negara itu yang mengumumkan pembukaan semula sekolah berkata kelas prasekolah akan ditutup manakala waktu pembelajaran sekolah rendah akan disingkatkan.
Sementara itu, Biro Agensi Kaji Cuaca bangladesh berkata cuaca panas melampau akan berterusan sekurang-kurangnya untuk tiga hari.
Pakar kaji cuaca, Kazi Jabunnesa berkata hujan dilihat akan memberi sedikit kelegaan dan dijangka turun selepas Khamis.
Pakar Meteorologi, Muhammad Abul Kalam Mallik pula memberitahu AFP, Bangladesh tidak pernah mengalami cuaca panas melampau sejak 1948.
Malik turut berkata perubahan iklim dan perbuatan manusia termasuk kepesatan urbanisasi, penebangan hutan, dan peningkatan penggunaan penghawa dingin adalah faktor penyebab kepada peningkatan suhu dan cuaca melampau di negara tersebut.
"Masalahnya, kita akan melihat lebih banyak gelombang haba yang teruk pada masa hadapan," katanya.-AFP