fb fb fb fb fb

Cristina Kirchner dilarang masuk ke AS, terlibat tuduhan rasuah jutaan dolar

Bekas Presiden Argentina, Cristina Kirchner / REUTERS

WASHINGTON, 22 Mac- Amerika Syarikat pada Jumaat mengumumkan larangan kemasukan ke atas bekas Presiden Argentina, Cristina Kirchner, serta bekas menterinya, Julio Miguel De Vido, atas dakwaan terlibat dalam skandal rasuah berskala besar.

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, mendakwa Kirchner dan De Vido menerima berjuta-juta dolar dalam bentuk sogokan daripada kontrak kerja awam semasa pentadbiran mereka.

Kirchner, yang memegang jawatan Presiden Argentina dari 2007 hingga 2016, sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh mahkamah negaranya atas kesalahan rasuah dan dilarang memegang jawatan awam. Bagaimanapun, beliau telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Dalam satu kenyataan, Rubio menyatakan bahawa Kirchner, De Vido serta ahli keluarga terdekat mereka telah disenaraikan bawah undang-undang AS sebagai individu yang dipercayai terlibat dalam “rasuah besar-besaran.”

“Tindakan ini menjadikan Kirchner, De Vido dan keluarga terdekat mereka tidak layak untuk memasuki Amerika Syarikat,” katanya.

Kirchner, yang masih aktif dalam politik meskipun berdepan prosiding undang-undang, terus menjadi pemimpin utama pembangkang Peronis di Argentina. Beliau juga merupakan pencabar utama Presiden Javier Milei, seorang populis sayap kanan yang dikenali sebagai sekutu rapat Presiden AS, Donald Trump.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE