fb fb fb fb fb

Bekas pegawai KGB, Oleg Gordievsky meninggal dunia pada usia 86 tahun

Bekas kolonel KGB yang berpaling tadah ke Britain pada 1980-an, Oleg Gordievsky

LONDON, 22 Mac- Bekas kolonel KGB yang berpaling tadah ke Britain pada 1980-an, Oleg Gordievsky, dilaporkan meninggal dunia pada usia 86 tahun di kediamannya di Surrey, London.

Gordievsky, yang merupakan pegawai perisikan tertinggi Soviet yang membelot ke Britain, pernah menjadi ejen dua muka selama beberapa tahun dan menyalurkan maklumat penting kepada perkhidmatan keselamatan Britain.

Pada 1985, selepas disyaki oleh pihak Soviet dan dipanggil pulang ke Moscow, beliau melarikan diri dengan bantuan pengendali British yang menyeludupnya keluar menggunakan but kereta diplomatik.

Pembelotannya mencetuskan ketegangan diplomatik besar, dengan 25 pegawai Kedutaan Soviet yang didakwa sebagai ejen rahsia diusir dari Britain. Moscow kemudian membalas dengan mengusir jumlah yang sama rakyat Britain sebelum siri pengusiran kedua berlaku.

Gordievsky diiktiraf atas jasanya dalam bidang keselamatan apabila dianugerahkan Companion of the Most Distinguished Order of St Michael and St George oleh Ratu Elizabeth II pada 2007.

Pihak polis antikeganasan turut membantu siasatan kematiannya, namun media Britain melaporkan tiada unsur mencurigakan dalam kejadian itu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE