fb fb fb fb fb

Israel ugut rampas Gaza jika Hamas enggan bebaskan tebusan

Sebuah kereta kebal milik tentera Zionis bergerak di dalam Gaza, seperti yang dilihat dari sempadan Israel dengan Gaza / REUTERS

BAITULMAQDIS, 22 Mac- Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengugut untuk merampas dan mengambil alih sebahagian wilayah Gaza sekiranya kumpulan Hamas tidak membebaskan baki tebusan Israel yang masih ditahan di wilayah Palestin yang dilanda peperangan itu.

"Saya telah mengarahkan tentera untuk merampas lebih banyak kawasan di Gaza... Semakin Hamas enggan membebaskan tebusan, semakin banyak wilayah yang akan dirampas dan menjadi sebahagian daripada Israel," katanya dalam satu kenyataan.

Katz turut memberi amaran bahawa Israel akan memperluaskan zon penampan di sekitar Gaza bagi melindungi penduduk awam dan tentera Israel, termasuk melaksanakan pendudukan tetap di kawasan berkenaan.

Ketegangan semakin memuncak selepas Israel menyambung semula serangan udara dan darat ke atas Gaza, sekali gus memecahkan ketenangan relatif yang wujud sejak gencatan senjata pada 19 Januari lalu.

Israel kembali melancarkan pengeboman besar-besaran pada Selasa selepas rundingan tidak langsung untuk meneruskan gencatan senjata menemui jalan buntu.

Menurut agensi pertahanan awam Gaza pada Khamis, 504 penduduk Palestin terbunuh sejak serangan terbaru bermula, termasuk lebih 190 kanak-kanak. Angka korban itu antara yang tertinggi sejak perang bermula 17 bulan lalu susulan serangan Hamas ke atas Israel.

Katz menegaskan bahawa Israel akan memperhebatkan operasi ketenteraan, termasuk serangan udara, laut dan darat, sehingga Hamas dikalahkan dan semua tebusan dibebaskan.

Israel juga dilaporkan mempertimbangkan cadangan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk membangunkan Gaza sebagai destinasi pelancongan Mediterranean selepas penduduknya dipindahkan ke negara-negara Arab lain.

Pada Khamis, tentera Israel mengesahkan pasukan daratnya telah memulakan operasi ketenteraan di kawasan Shabura, Rafah, bandar paling selatan Gaza yang bersempadan dengan Mesir.

Israel turut menutup laluan utama utara-selatan Gaza sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan operasi darat di wilayah itu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE