fb fb fb fb fb

COVID-19: Peningkatan jumlah jangkitan di Beijing dorong pembelian panik

(Orang ramai beratur untuk menjalani ujian swab COVID-19 di tapak pengumpulan swab di Beijing hari ini/AFP)

BEIJING, 25 April - Kebimbangan tentang sekatan pergerakan yang ketat bagi mencegah penularan COVID-19, mencetuskan pembelian panik di Beijing.

Orang ramai juga dilaporkan membentuk barisan panjang untuk mendapatkan ujian saringan wajib.

Daerah paling ramai penduduk di Beijing, Chaoyang yang menempatkan kira-kira 3.5 juta orang, mengarahkan ujian besar-besaran bermula hari ini untuk penduduk dan mereka yang datang bekerja di sini.

Orang ramai dilihat beratur panjang di sekitar pusat beli-belah dan di luar kompleks pejabat menunggu giliran untuk diambil sampel oleh pekerja kesihatan yang memakai alat pelindung.

"Jika satu kes ditemukan, kawasan ini boleh terjejas," kata pekerja pejabat Yao Leiming, 25, ketika dia menuju ke tapak ujian di Chaoyang bersama sekumpulan rakan sekerjanya.

Arahan ujian saringan besar-besaran dan amaran situasi COVID-19 yang "suram" di bandar itu, mencetuskan pembelian panik di pasar raya berikutan tindakan penduduk berlumba-lumba menimbun barang keperluan.

(Orang ramai membeli barang keperluan di pasar raya di Beijing on April 25, 2022/AFP)

Banyak barangan dalam aplikasi penghantaran barangan runcit habis dijual dalam tempoh singkat malam tadi, susulan pengumuman tentang ujian saringan wajib.

Berpuluh-puluh kes positif COVID-19 dilaporkan di Beijing sepanjang minggu lalu, termasuk 14 jangkitan baharu hari ini.

Pihak berkuasa kesihatan mengeluarkan amaran bahawa virus itu telah beredar tanpa dikesan selama beberapa hari.

Bermula hari ini, pihak berkuasa Beijing menangguhkan semua aktiviti pelancongan berkumpulan.

Selain itu, sekurang-kurangnya satu kawasan perumahan telah ditutup, manakala beberapa studio kecergasan dan gimnasium telah membatalkan kelas atau ditutup.

Pelancong yang memasuki bandar dikehendaki menunjukkan hasil ujian negatif COVID-19 dalam tempoh 48 jam. -AFP

Media Baharu