fb fb fb fb fb

COVID-19 lebih berkemungkinan berasal dari makmal - CIA

Foto Reuters

NEW YORK, 26 Januari – Agensi Perisikan Pusat (CIA) menilai bahawa pandemik COVID-19 "lebih berkemungkinan" berpunca daripada insiden di makmal berbanding dari sumber semula jadi, menurut jurucakap agensi tersebut pada Sabtu.

Selama ini, CIA tidak dapat membuat kesimpulan tegas sama ada virus itu berasal dari alam semula jadi atau akibat kebocoran makmal.

Namun, bekas Pengarah CIA, William Burns, dalam minggu-minggu terakhir pentadbiran Biden, meminta pasukan penganalisis dan saintis agensi tersebut membuat penilaian yang jelas kerana kepentingan sejarah pandemik ini, menurut seorang pegawai kanan A.S.

Menurut CIA, mereka mempunyai "keyakinan rendah" terhadap penilaian bahawa asal-usul pandemik berkaitan dengan penyelidikan makmal, namun mengakui kedua-dua senario – asal dari makmal dan semula jadi – masih berkemungkinan.

Kedutaan China di Washington tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk komen.

Bagaimanapun, China menegaskan bahawa ia menyokong usaha penyelidikan menentukan asal-usul COVID-19 dan mendakwa Washington telah mempolitikkan isu tersebut.

Beijing juga menyatakan bahawa dakwaan kebocoran makmal sebagai punca pandemik tidak mempunyai asas kredibiliti.

Pengarah CIA, John Ratcliffe dalam wawancara bersama Breitbart selepas pengesahannya oleh Senat AS pada Jumaat berkata penilaian tentang asal-usul pandemik adalah antara keutamaan utamanya.

“Itu adalah perkara utama pada hari pertama saya,” katanya. “Berdasarkan risikan, sains, dan logik, semua ini menunjukkan bahawa asal-usul COVID adalah kebocoran di Institut Virologi Wuhan.”

Penilaian terkini CIA menambahkan dimensi baharu kepada perbahasan global mengenai punca pandemik yang telah mengubah kehidupan di seluruh dunia.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN