fb fb fb fb fb

200 tahanan Palestin dibebaskan

Foto REUTERS

BAITULMAQDIS, 26 Januari-Pihak berkuasa Israel pada Sabtu membebaskan 200 tahanan, hampir kesemuanya warga Palestin, sebagai pertukaran dengan empat tentera wanita Israel yang ditahan sejak serangan Hamas pada Oktober 2023.

Menurut kumpulan advokasi Kelab Tahanan Palestin, Daripada 200 tahanan tersebut, yang digambarkan oleh Perkhidmatan Penjara Israel sebagai "pengganas," 199 adalah warga Palestin manakala seorang lagi adalah rakyat Jordan.

Kelab itu turut menyatakan bahawa 121 daripada mereka telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Kebanyakan daripada mereka dituduh dan dijatuhkan hukuman atas perbuatan yang dilakukan semasa Intifada Kedua, yang berlangsung dari tahun 2000 hingga 2005, menurut Kelab Tahanan tersebut.

Empat belas daripada tahanan yang dibebaskan dihantar ke Semenanjung Gaza, manakala puluhan lagi ke Tebing Barat yang diduduki Israel.

Kumpulan tersebut turut menyatakan bahawa dua daripada tahanan yang dibebaskan berasal dari bandar Umm al-Fahm di Israel, manakala lima lagi dari Baitulmaqdis timur.

Terdahulu, Israel telah menduduki Tebing Barat sejak 1967, ketika ia juga merampas dan mengilhakkan Baitulmaqdis timur.

Sementara itu, kepulangan tahanan berkenaan disambut girang oleh ahli keluarga masing-masing.

Isteri dan ibu-ibu Palestin mengenakan pakaian bersulam terbaik mereka untuk menyambut kepulangan 14 tahanan yang dibebaskan oleh Israel dalam pertukaran tebusan terbaru.

14 tahanan tersebut adalah sebahagian daripada 200 tahanan yang dibebaskan sebagai pertukaran untuk empat tentera wanita yang ditahan di Gaza sejak Oktober 2023.

Ratusan orang berkumpul di bandar Rafah di selatan Gaza untuk memberikan sambutan sebagai wira kepada para tahanan yang dibebaskan.

14 lelaki tersebut tiba dengan sebuah bas mini berwarna krim.

Tiga daripada mereka melambai keluar dari pintu sisi yang terbuka sambil menyertai orang ramai bersorak.

Salah seorang isteri tahanan berkenaan, Majda Balousha berkata suaminya, Abd al-Rahman, dibebaskan ke sebuah "Gaza yang musnah"

Berpakaian gaun putih terang dengan sulaman merah yang rumit dalam gaya tradisional Palestin, beliau memegang sejambak bunga ros merah sambil menunggu dengan cemas kepulangan suaminya.

Apabila suaminya tiba, Majda melangkah ke dalam keramaian untuk memeluk suaminya ketika wanita-wanita di sekeliling mereka bersorak kegembiraan dan orang lain merakamkan detik penuh emosi berkenaan.

"Kami bermimpi pada hari ini dia akan keluar dan Gaza akan makmur dan bukan musnah, tetapi syukur kepada Tuhan yang telah membebaskannya," katanya.

Masih memeluk isterinya di tengah-tengah keramaian, Balousha yang gembira berkata beliau bersyukur kerana dibebaskan dan bertemu dengan ahli keluarganya.

"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan ini sama sekali.

Syukur kepada Tuhan, kami bertemu keluarga kami dan kami bahagia bersama mereka", katanya.

Terdahulu, kumpulan pejuang Hamas, pada Sabtu membebaskan empat tentera wanita Israel, yang ditukar dengan 200 tahanan Palestin yang dipenjarakan di penjara Israel.

Keempat-empat mereka kelihatan berada dalam keadaan sihat. Mereka merupakan anggota unit pemantau yang majoritinya terdiri daripada wanita, ditempatkan di sekitar Gaza untuk memantau sebarang tanda aktiviti Hamas.

Mereka adalah antara 251 tebusan yang diculik pada 7 Oktober 2023.

Seorang lagi tentera wanita yang turut diculik bersama mereka dijangka akan dibebaskan dalam beberapa minggu akan datang.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD