fb fb fb fb fb

COVID-19 belum berakhir- WHO

GENEVA, 13 Julai- Lonjakan baharu kes jangkitan COVID-19 menunjukkan wabak itu masih belum berakhir.

Amaran itu disuarakan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan jumlah kes akan terus meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada sistem kesihatan dan pekerja.

Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan kepada WHO meningkat 30 peratus dalam tempoh dua minggu lalu. Sebahagian besarnya didorong oleh subvarian Omicron dan tindakan menarik langkah kawalan.


(Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom Ghebreyesus/AFP)

"Gelombang baharu virus itu menunjukkan sekali lagi bahawa COVID-19 belum menunjukkan tanda berakhir. Apabila virus itu mendekati, kita perlu mencegahnya," katanya

Tedros menegaskan, susulan penularan COVID-19 dan kemasukan ke hospital kembali meningkat, kerajaan mesti menggunakan peraturan kesihatan sedia ada.

Antaranya pemakaian pelitup muka, pengudaraan yang lebih baik serta protokol ujian dan rawatan.

"Sub-varian Omicron, seperti BA.4 dan BA.5, terus mendahului gelombang kes, kemasukan ke hospital dan kematian di seluruh dunia," kata Tedros.

"Pemantauan telah berkurangan dengan ketara termasuk ujian saringan dan penjujukan. Ini menjadikannya semakin sukar untuk menilai kesan varian pada jangkitan, ciri penyakit dan keberkesanan langkah pencegahan", kata Tedros.

Tambahnya, ujian, rawatan dan vaksin tidak dilaksanakan dengan berkesan.

"Virus ini bebas menular dan terdapat negara yang tidak menguruskan secara berkesan seperti kemasukan ke hospital bagi jangkitan kes akut dan peningkatan jumlah pesakit dengan simptom Long COVID-19", katanya.-AFP

Media Baharu