fb fb fb fb fb

Tangani inflasi: Bank of Korea naikkan kadar faedah sebanyak separuh mata

(Foto fail AFP)

SEOUL, 13 Julai- Bank Pusat Korea Selatan mengumumkan kenaikan bersejarah kadar faedah sebanyak separuh mata dalam usaha menangani inflasi yang semakin meningkat, terutama kos tenaga atau bahan api yang melambung tinggi kesan perang di Ukraine.

Bank of Korea (BOK) telah menaikkan kadar dasar penanda arasnya sebanyak 50 mata asas kepada 2.25%, menurut bank itu menerusi Twitter, peningkatan paling tinggi sejak rangka kerja semasa dilaksanakan pada 1999.

Keputusan itu dibuat selepas ekonomi ke-4 terbesar Asia itu menunjukkan pemulihan daripada kelembapan ekonomi akibat COVID-19 yang menyebabkan harga bahan api dan bahan mentah naik.

Bulan lepas, indeks harga pengguna negara meningkat 6%, mencecah paras tertinggi sejak krisis kewangan Asia lebih dua dekad lalu.

Berdasarkan data kerajaan, meskipun eksport Korea Selatan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi, negara itu mencatatkan defisit perdagangan untuk dua bulan berturut-turut pada Mei kesan peningkatan kos import.

Bank pusat di seluruh dunia telah melaksanakan beberapa siri kenaikan kadar faedah kesan daripada perang Rusia di Ukraine yang telah menyebabkan lonjakan harga bahan api dan makanan sekali gus mendorong inflasi.

BOK telah mengurangkan unjuran pertumbuhan pada tahun ini kepada 2.7% pada Mei, turun daripada 3%, tiga bulan sebelum itu. -AFP


(Foto fail AFP)

Media Baharu