fb fb fb fb fb

Sokongan ke atas Ishiba cecah paras terendah

Shigeru Ishiba/ Reuters

TOKYO, 17 Mac- Sokongan orang ramai terhadap kerajaan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba jatuh ke paras terendah selepas beliau menyerahkan baucar hadiah kepada beberapa ahli parlimen parti pemerintah.

Dapatan itu berdasarkan tinjauan pendapat yang dijalankan akhbar Asahi.

Penarafan kelulusan merosot 14 mata peratusan kepada 26 peratus daripada tinjauan pada Februari, keadaan itu paling teruk sejak Ishiba mengambil alih jawatan pada Oktober lalu, menurut tinjauan pendapat Asahi pada 15-16 Mac.

Sementara itu tinjauan akhbar Yomiuri dan akhbar Mainichi pada hujung minggu juga menunjukkan kelulusan awam untuk kabinet Ishiba jatuh ke paras terendah.

Ishiba mendapati dirinya berada dalam keadaan goyah berikutan tindkannya menyerahkan baucar hadiah bernilai 100,000 yen ($673) setiap satu kepada 15 penggubal parlimen dewan rendah penggal pertama Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah bulan ini.

Tindakan berkenaan mengundang kritikan kerana perkara itu boleh melanggar undang-undang politik.

Bercakap di parlimen, Ishiba berkata beliau menggunakan "wang poket" untuk menyerahkan sijil hadiah kepada ahli parlimen sebelum makan malam bersama pada 3 Mac sebagai "menunjukkan penghargaan" atas kerja keras mereka.

Menurut Ishiba pemberian hadiah itu tidak melanggar undang-undang dana politik namun beliau meminta maaf atas tindakan tersebut yang menyebabkan "ketidakpercayaan dan kemarahan ramai orang."

Menurut media Jepun, kesemua 15 penggubal undang-undang memulangkan baucar hadiah kepada pejabat Ishiba.

Penurunan tinjauan pendapat boleh menjadi tamparan kepada Ishiba menjelang pilihan raya dewan atasan yang dijadualkan pada Julai, diikuti ekonomi Jepun menghadapi masalah akibat perang perdagangan semakin memuncak yang dilancarkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI