VILLAVICENCIO, 24 Julai – Taman Biopark Los Ocarros di Villavicencio, Colombia kini menjadi tempat perlindungan bagi puluhan capybara yang diselamatkan daripada penderaan dan percubaan pemeliharaan haram.
Rakaman pada Khamis memaparkan seekor capybara yang telah pulih berinteraksi mesra dengan seekor tapir kelabu, menonjolkan fungsi taman ini sebagai pusat pemuliharaan spesies asli dan tempat perlindungan hidupan liar.
Sebahagian capybara yang pulih akan dilepaskan semula ke habitat asal, manakala yang lain akan terus tinggal dalam persekitaran terkawal. Usaha tersebut selaras dengan larangan kekal kerajaan Colombia terhadap pemburuan komersial capybara, spesies ikonik Dataran Timur dan penting kepada ekosistem wilayah Orinoquía.
“Kami menerima beberapa capybara dalam keadaan sakit. Pasukan veterinar memberi rawatan sehingga haiwan ini pulih dan boleh dilepaskan kembali ke alam liar,” kata saintis haiwan biopark, David Gustavo Parra.
Capybara, yang dikenali sebagai chiguiro atau carpincho, semakin popular di media sosial, sekali gus meningkatkan permintaan haram sebagai haiwan peliharaan, tindakan yang melanggar undang-undang dan mengancam kelangsungan spesies itu.
“Untuk mendapatkan anak capybara, biasanya ibu atau seluruh kumpulan akan dibunuh. Itu amat berbahaya,” tegas Parra.
Taman Biopark Los Ocarros kini menempatkan kira-kira 450 haiwan daripada 121 spesies tempatan yang diselamatkan daripada penyeludupan dan penderaan.
Larangan kerajaan terhadap pemburuan komersial turut mengambil kira amalan tradisional komuniti Llanero yang sekian lama hidup bersama kapibara tanpa menjejaskan keseimbangan ekosistem.
Columbia kini dianggarkan memiliki populasi capybara sebanyak 800,000 ekor, kedua tertinggi di Amerika Selatan. Namun, beberapa kawasan menunjukkan penurunan ketara, seperti di Casanare yang menyusut daripada 12,800 ekor pada 2005 kepada 6,928 pada 2017.
Pihak berkuasa menganggarkan antara 120,000 hingga 150,000 capybara diburu secara haram setiap tahun, kebanyakannya betina, yang mengancam kelangsungan jangka panjang spesies berkenaan.-VIORY