fb fb fb fb fb

Nahas pesawat di Rusia: Semua penumpang, kru disahkan maut

Bangkai pesawat Angara Airlines jenis An-24 yang terhempas di wilayah Amur, timur Rusia/Foto REUTERS

MOSCOW, 25 Julai – Rusia mengesahkan bahawa kesemua 49 orang di dalam pesawat Angara Airlines jenis An-24 yang terhempas di wilayah Amur, timur Rusia, telah terkorban.

Siasatan penuh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca insiden tragis itu.

Pesawat yang membawa 43 penumpang dan enam anak kapal itu dilaporkan terhempas ketika menghampiri Lapangan Terbang Tynda, selepas berlepas dari Khabarovsk dan singgah di Blagoveshchensk.

Menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa Rusia, pesawat itu hilang daripada radar hanya beberapa kilometer dari destinasi tanpa sempat menghantar isyarat kecemasan.

Pasukan penyelamat berjaya mengesan serpihan pesawat yang terbakar di kawasan hutan tebal dan berbukit kira-kira 15 kilometer dari Lapangan Terbang Tynda.

“Pemeriksaan awal menunjukkan tiada mangsa yang terselamat di lokasi nahas,” kata Igor Smirnov, Pengarah Utama Kementerian Situasi Kecemasan Rusia bagi Wilayah Amur.

Siasatan awal mendapati bahawa jarak penglihatan yang terhad semasa pesawat menghampiri landasan serta kemungkinan kesilapan juruterbang menyumbang kepada faktor insiden. - REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI