HANOI, 14 April- China dan Vietnam menandatangani kira-kira 40 perjanjian kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan penerbangan pada Isnin dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
Perkara itu dicapai selepas Presiden China Xi Jinping memberi amaran bahawa proteksionisme "tidak membawa apa-apa" dan "tiada pemenang" dalam perang perdagangan.
Xi berada di Vietnam dalam jelajah Asia Tenggara, ketika Beijing berusaha mewujudkan negara itu sebagai alternatif stabil berbanding Amerika Syarikat (AS).
Ia susulan Presiden AS Donald Trump mengumumkan pengenalan tarif yang akan dikenakan bulan ini.
Ketibaan Presiden China itu dialu-alukan ke Hanoi sebelum kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan dengan pemimpin tertinggi Vietnam, Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam.
Lawatan Xi ke atas Vietnam dilakukan elepas hampir dua minggu lawatan ke Amerika Syarikat yang mengenakan 46 peratus levi ke atas barangan Vietnam sebagai sebahagian daripada perdagangan global.
Walaupun tarif timbal balik ke atas Vietnam dan kebanyakan negara lain telah ditangguhkan, China masih menghadapi levi yang besar dan sedang berusaha untuk mengetatkan hubungan perdagangan serantau dan mengimbangi kesannya semasa lawatan ke luar negara pertama Xi pada tahun ini.
Xi berada di Vietnam pada Isnin dan Selasa, sebelum melakukan lawatan ke atas Malaysia dan Kemboja dalam lawatan yang dilihat sebagai "kepentingan utama" untuk wilayah lebih luas.
Bercakap semasa pertemuan dengan To Lam pada Isnin, Xi berkata Vietnam dan China "mendepani titik perubahan sejarah... dan harus bergerak ke hadapan dengan melakukan kerjasama."
Xi sebelum ini menggesa kedua-dua negara untuk "melindungi sistem perdagangan pelbagai hala, rantaian industri, bekalan global stabil, persekitaran antarabangsa terbuka serta melakukan kerjasama."
Beliau turut mengulangi bahawa Beijing menyifatkan "perang perdagangan dan perang tarif tidak mewujudkan pemenang selain ia hanya dianggap sia-sia," menurutnya dalam artikel akhbar Nhan Dan yang dikendalikan kerajaan Vietnam.
Sementara itu To Lam menerusi artikel yang disiarkan di portal berita kerajaan pada Isnin memaklumkan negara itu "sentiasa bersedia untuk berganding bahu dengan China untuk menjadikan kerjasama antara kedua-dua negara lebih substantif, mendalam, seimbang dan mampan".- AFP