fb fb fb fb fb

China tutup ruang udara utara Taiwan 16-18 April

(FOTO HIASAN/ REUTERS)

BEIJING, 12 April- Kerajaan China merancang untuk menutup ruang udara di utara Taiwan bermula 16 hingga 18 April.

Sumber yang mengetahui perkara berkenaan berkata, penutupan ruang udara itu satu langkah yang boleh mengganggu penerbangan di sekitar wilayah itu.

Bagaimanapun, Kementerian Luar China tidak segera menjawab permintaan untuk komen.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Taiwan hari ini berkata pihaknya sudah membuat semakan terhadap laporan Reuters mengenai rancangan China untuk mengenakan sekatan ruang udara di utara pulau itu dalam beberapa hari akan datang.

Katanya, sekatan yang dilaporkan itu mungkin berkaitan dengan aktiviti angkasa lepas termasuk pelancaran satelit oleh China.

Empat pegawai di luar China yang enggan dikenali kerana sensitiviti perkara itu, berkata larangan itu akan mengganggu penyebaran maklumat penerbangan (FIR) utara Taiwan dan mereka tidak mengetahui sebab sekatan itu.

Arahan itu dikeluarkan ketika China menamatkan beberapa hari latihan ketenteraan di sekitar Taiwan, sebagai maklum balas kepada pertemuan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen baru-baru ini dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy di California, yang menimbulkan kemarahan Beijing.

Seorang pegawai kanan yang arif mengenai perkara itu berkata larangan penerbangan akan menjejaskan 60 hingga 70 peratus penerbangan antara Timur laut Asia dan Asia Tenggara, serta penerbangan antara Taiwan dan Korea Selatan, Jepun dan Amerika Utara.

Menurut Ops Group, sebuah koperasi industri penerbangan yang memberi nasihat mengenai risiko penerbangan, sekatan sebelum ini yang dikenakan semasa latihan tentera China Ogos lalu mengakibatkan gangguan ketara kepada penerbangan di rantau itu, dengan beberapa juruterbang terpaksa membawa bahan api tambahan. REUTERS


(FOTO FAIL/ AFP)

 

Media Baharu