fb fb fb fb fb

Trump seru pengawal trafik udara kembali bekerja, ancam potong gaji jika tidak hadir

Foto REUTERS

AMERIKA SYARIKAT, 11 November - Presiden Donald Trump pada Isnin memaklumkan bahawa pentadbirannya akan mula menubuhkan sistem kawalan trafik udara yang baharu dalam beberapa minggu akan datang.

Beliau berjanji proses itu akan disegerakan.

Trump turut meminta pengawal trafik udara kembali bekerja dan mengancam untuk memotong gaji mana-mana pengawal yang gagal berbuat demikian.

Menerusi kenyataan di platform Truth Social, pemimpin itu berjanji untuk mencadangkan bonus sebanyak A$10,000 kepada mana-mana pengawal yang tidak mengambil cuti sepanjang penutupan kerajaan yang telah memasuki hari ke-41.

"Semua pengawal trafik udara mesti kembali bekerja, sekarang. Sesiapa yang tidak berbuat demikian, berdepan pemotongan gaji yang ketara," tegas beliau.

Penutupan kerajaan yang berlaku ketika ini merupakan yang terpanjang dalam sejarah negara tersebut.

Situasi itu menyebabkan 13,000 pengawal trafik udara dan 50,000 ejen Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan bekerja tanpa gaji.

Sebahagian daripada mereka tidak hadir bekerja kerana melakukan pekerjaan lain dalam tempoh penutupan terbabit.

Menurut laman web FlightAware, syarikat penerbangan membatalkan lebih 2,200 penerbangan dan menangguhkan lebih 8,100 penerbangan pada Isnin.

Terdahulu pada Ahad, hampir 3,000 penerbangan dibatalkan manakala 11,200 ditangguhkan, menjadikannya rekod tertinggi sejak penutupan kerajaan bermula 1 Oktober lepas. - REUTERS

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN