fb fb fb fb fb

Ecuador pindahkan 300 banduan berisiko tinggi ke penjara baharu

Foto X/DANIEL NOBOA AZIN

QUITO, 11 November - Susulan insiden rusuhan di Penjara Machala yang mengorbankan lebih 31 banduan, pihak berkuasa Ecuador memindahkan kira-kira 300 tahanan yang berisiko tinggi ke Penjara Encuentro dengan kawalan keselamatan maksimum.

"300 banduan paling berbahaya telah dipindahkan ke Penjara Encuentro. Jenayah cuba mencabar Ecuador, dan hari ini Ecuador bertindak balas dengan tindak," ujar Presiden Daniel Noboa menerusi platform X.

Beliau turut berkongsi gambar banduan yang dipindahkan itu yang memaparkan mereka dikawal ketat oleh pasukan tentera.

Penjara Encuentro merupakan fasiliti baharu dengan kapasiti 700 orang yang dibina khas untuk menempatkan banduan yang terbabit dalam aktiviti geng atau kumpulan penjenayah, pembunuhan dan penyeludupan dadah.

Pemindahan ke penjara yang terletak di wilayah Santa Elena itu merupakan sebahagian usaha Noboa untuk melemahkan kumpulan jenayah yang aktif di penjara-penjara sesak di negara itu.

Ini sekali gus menjadi langkah tegas Ecuador dalam memerangi pengaruh geng jenayah dalam sistem penjara di negara tersebut yang telah melebihi kapasiti.

Agensi Penjara Nasional memaklumkan setakat ini penjara di Ecuador telah melebih kapasiti sebanyak 30 peratus dan situasi itu menimbulkan banyak kritikan.

Selain itu, isu rasuah dan kawalan yang lemah antara yang mencetuskan pergolakan dalam penjara di Ecuador.

Rusuhan yang berlaku sejak beberapa tahun telah mengorbankan ratusan banduan.- REUTERS

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN