NEW DELHI, 11 November - Pasukan forensik giat meneliti lokasi insiden letupan kereta yang mengorbankan lapan individu dan mencederakan 20 yang lain.
Tragedi itu berlaku berhampiran mercu tanda popular, Red Fort.
Insiden yang berlaku di tengah-tengah ibu negara pada petang Isnin itu disiasat mengikut Akta Pencegahan Aktiviti Haram.
Akta itu dikuatkuasakan bagi menyiasat dan mendakwa pesalah dan tindakan yang berkaitan pengganas serta aktiviti yang mengancam kedaulatan dan integriti negara.
Pakar forensik ketika ini sedang mencari bukti untuk menentukan punca letupan yang pertama kali berlaku di ibu kota itu dalam tempoh lebih sedekad, sekali gus menggemparkan negara itu.
Menteri Dalam Negeri Amit Shah memberitahu pasukan keselamatan sedang meneliti semua kemungkinan dan sukar untuk menentukan punca kejadian sehingga sampel forensik siap dianalisis.
Bandar dengan lebih 30 juta penduduk itu kini dikawal ketat selain beberapa negeri dan kemudahan penting di seluruh negara diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Terdahulu, Perdana Menteri Narendra Modi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat. - AFP