fb fb fb fb fb

China rekod kematian pertama selesema burung H3N8 - WHO

(FOTO FAIL/ REUTERS)

BEIJING, 12 April- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan seorang wanita meninggal dunia akibat selesema burung yang jarang menjangkiti manusia.

Wanita berusia 56 tahun dari wilayah selatan Guangdong itu adalah orang ketiga yang diketahui dijangkiti sub jenis H3N8 selesema burung, kata WHO dalam satu kenyataan lewat semalam.

Kesemua kes itu berlaku di China, dengan dua kes pertama dilaporkan tahun lalu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Wilayah Guangdong melaporkan jangkitan ketiga lewat bulan lalu tetapi tidak memberikan butiran kematian wanita itu.

Pesakit itu mempunyai pelbagai gejala asas, kata WHO, dan sejarah pendedahan kepada ayam hidup.


(H3N8 adalah sejenis selesema burung yang sangat jarang menjangkiti manusia/ REUTERS)

Jangkitan berkala pada orang yang menghidap selesema burung adalah perkara biasa di China di mana virus selesema burung sentiasa beredar dalam kalangan besar ternakan ayam dan burung liar.

Sampel dikumpul dari pasar basah yang dilawati wanita itu sebelum dia jatuh sakit positif influenza A(H3), kata WHO yang turut mencadangkan ia mungkin punca jangkitan.

Walaupun jarang berlaku pada manusia, H3N8 biasanya dikesan berlaku pada burung, di mana ia menyebabkan sedikit atau tiada tanda gejala penyakit dan ia juga menjangkiti mamalia lain.

WHO turut mengesahkan tiada kes lain ditemui dalam kalangan kenalan rapat mangsa.

"Berdasarkan maklumat yang ada, nampaknya virus ini tidak mempunyai keupayaan untuk merebak dengan mudah dari seorang ke seorang dan oleh itu, risiko ia merebak dalam kalangan manusia pada peringkat negara, serantau dan antarabangsa dianggap rendah," kata WHO dalam kenyataan itu.

Pemantauan semua virus selesema burung dianggap penting memandangkan keupayaannya untuk merebak dan menyebabkan serangan wabak. - REUTERS

Media Baharu