fb fb fb fb fb

Pencerobohan Rusia: Ukraine minta bantuan India

(Emine Dzhaparova memberitahu India pihaknya boleh memainkan peranan yang lebih
besar dalam menamatkan perang di negaranya/AFP)

NEW DELHI, 12 April- Timbalan Menteri Luar Ukraine Emine Dzhaparova menamatkan lawatan rasminya ke India selepas merayu bantuan kemanusiaan dan sokongan diplomatik daripada New Delhi.

Terdahulu beliau bertemu rakan sejawatannya dalam rundingan bersemuka pertama antara kedua-dua negara sejak konflik Ukraine-Rusia bermula tahun lepas.

Menurut kenyataan kementerian luar India, Dzhaparova meminta ubat-ubatan dan peralatan perubatan serta menyampaikan surat daripada Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky yang ditujukan kepada Perdana Menteri Narendra Modi.

"Dzhaparova, semasa lawatannya, menekankan hasrat Ukraine untuk membina hubungan yang lebih kukuh dan lebih rapat dengan India," kata kenyataan itu.

Semalam Dzhaparova memberitahu sebuah badan pemikir di New Delhi bahawa beliau percaya India boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam menamatkan perang.

"Kami mengalu-alukan sebarang usaha untuk menamatkan perang," katanya kepada hadirin, sambil menggesa India memanfaatkan jawatan Presiden G20 tahun ini untuk menarik perhatian kepada konflik itu.

Hubungan keselamatan India yang terjalin sejak sekian lama dengan Rusia telah meletakkan New Delhi dalam kedudukan diplomatik yang janggal.

Walaupun menggesa semua pihak menamatkan pergolakan di Ukraine, India enggan mengutuk pencerobohan Rusia secara langsung.

Sebaliknya ia memilih untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dengan sekutu lamanya dengan faedah tambahan untuk meredakan inflasi sambil menjimatkan wang awam.

India juga dilihat mengetepikan tekanan Barat supaya membekukan aktiviti perdagangan dan ekonomi Moscow.

Ini termasuk membeli minyak mentah Rusia pada harga diskaun.

Kerajaan Modi terperangkap antara peningkatan kerjasama keselamatan India dengan negara-negara Barat dan pergantungannya pada Moscow untuk import pertahanan dan minyak. -AFP

(Emine Dzhaparova bertemu rakan sejawatannya dari India, Meenakashi Lekhi pada 11 April
lalu//Twitter/@M_Lekhi)

Media Baharu