fb fb fb fb fb

Jerman rombak rancangan perkenal undang-undang liberal ganja

(Foto fail)

FRANKFURT, 12 April - Jerman membatalkan rancangannya untuk membenarkan penjualan ganja secara meluas di kedai berlesen buat masa ini berikutan kebimbangan yang disuarakan Kesatuan Eropah (EU).

Oktober lepas, Berlin mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan beberapa undang-undang ganja paling liberal di Eropah.

Namun kerajaan pakatan hari ini melancarkan pelan dua peringkat, yang masih membenarkan orang dewasa memiliki ganja dalam jumlah kecil tetapi tidak dijual di kedai-kedai di seluruh negara.

Menteri Kesihatan Karl Lauterbach dalam sidang media di sini berkata walaupun butiran mungkin telah berubah, "matlamat asal" tidak.


(Foto hiasan)

Pelan baharu itu dilihat sebagai "penggunaan yang lebih selamat, menangani pasaran gelap dan melindungi golongan muda".

Peringkat pertama membenarkan penubuhan "kelab ganja", kumpulan bukan berasaskan keuntungan sehingga 500 ahli yang dibenarkan menanam dadah untuk kegunaan sendiri.

Ahli dibenarkan memiliki sehingga 25 gram ganja untuk kegunaan peribadi dan menanam sehingga tiga pokok setiap satu.

Kanak-kanak bawah umur masih dilarang daripada mengambil dadah.

Draf rang undang-undang berkaitan kelab ganja perlu disediakan akhir bulan ini sebelum dibentangkan kepada kabinet dan ahli parlimen untuk kelulusan.

"Penggunaan ganja masih dibenarkan tahun ini," kata Menteri Pertanian Cem Ozdemir.

Peringkat kedua melibatkan ujian di wilayah yang belum dipilih, dalam tempoh lima tahun pengeluaran dan penjualan ganja dibenarkan di kedai khusus bawah lesen yang dikeluarkan kerajaan.

"Projek perintis itu boleh menjadi model di peringkat eropah dan membawa kepada perubahan dalam undang-undang," kata Lauterbach.

Menurutnya, beliau telah mengadakan beberapa perbincangan yang menggalakkan dengan negara lain mengenai perkara itu.-AFP

Media Baharu