fb fb fb fb fb

Harimau bintang berkeliaran serang polis di Kolhapur

FOTO HIASAN

KOLHAPUR, 11 November - Penduduk Kolhapur, India gempar selepas seekor harimau bintang dikesan berkeliaran di kawasan bandar lewat malam Isnin, mencetuskan operasi besar-besaran oleh Jabatan Perhutanan India.

Menurut pegawai, haiwan tersebut berjaya mengelak daripada ditangkap selama beberapa jam sebelum kelibatnya kembali dikesan pada Selasa di kawasan berhampiran Kolej Vivekananda. Beberapa wanita yang bekerja di kawasan itu melaporkan melihat harimau bintang tersebut, menyebabkan polis Shahupuri dan pegawai hutan bergegas menjalankan misi menyelamat.

Ketika operasi, harimau bintang yang bersembunyi di atas sepohon pokok secara tiba-tiba menyerang seorang konstabel, Krushnat Patil dari Balai Polis Shahupuri. Mangsa terjatuh namun berjaya melawan menggunakan sebatang kayu. Haiwan tersebut kemudian cuba memanjat semula ke atas pokok.

Susulan serangan itu, pihak berkuasa segera menutup kawasan sekitar dan meningkatkan rondaan di Nagala Park, Kolej Vivekananda, Hotel Woodland, pejabat BSNL serta kawasan MSEDCL. Penduduk setempat diminta kekal berada di dalam rumah, mengelakkan kawasan sesak dan tidak keluar pada waktu malam.

Pegawai memaklumkan harimau bintang tersebut masih bebas dan usaha memburunya diteruskan oleh pasukan gabungan Jabatan Perhutanan dan polis. Kejadian berkenaan sekali lagi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk kawasan elit Nagala Park, yang sebelum ini pernah mengalami insiden serupa.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE