fb fb fb fb fb

Gantung perjanjian damai: Bangkok akan jelaskan kepada Washington

Foto REUTERS

BANGKOK, 11 November - Kerajaan Thailand akan menjelaskan kepada Washington berhubung keputusannya untuk menggantung pelaksanaan pelan damai dengan Kemboja yang ditandatangani bulan lalu.

Menteri Pertahanan, Natthaphon Narkphanit memberitahu media bahawa Bangkok juga akan menangguhkan pemulangan 18 tahanan perang Kemboja yang kini ditahan tentera Thailand.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sama ada Thailand akan menggerakkan semula tenteranya.

Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul berkata beliau menyokong keputusan dibuat Kementerian Pertahanan dan pihak tentera.

"Semua usaha yang kita rancang sebelum ini perlu dihentikan sehingga mendapat pencerahan," ujar beliau.

Terdahulu, tentera Thailand mendakwa Kemboja meletakkan periuk api baharu selepas kedua-dua negara bersetuju dengan langkah gencatan senjata yang dipertingkat termasuk pengunduran tentera dan senjata berat serta pembebasan tahanan Kemboja oleh Bangkok.

Kemboja dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa bagaimanapun menafikan tuduhan itu serta menggesa Thailand untuk tidak melakukan rondaan di kawasan lama yang masih mengandungi periuk api.

Phnom Penh dalam kenyataan turut menegaskan komitmen pihaknya untuk bekerjasama dengan Bangkok selaras Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang dimeterai pada 26 oktober lepas di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, disaksikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN