fb fb fb fb fb

Dalang insiden letupan kereta tidak akan terlepas - Menteri Pertahanan India

Foto AFP

NEW DELHI, 11 November - Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh berikrar yang dalang letupan kereta yang meragut sekurang-kurangnya lapan nyawa itu tidak akan terlepas.

"Agensi penyiasatan terkemuka negara sedang menjalankan siasatan dengan pantas dan menyeluruh terhadap insiden ini. Hasil siasatan akan diumumkan tidak lama lagi.

"Saya tegaskan yang mereka yang bertanggungjawab terhadap tragedi ini akan dihadapkan ke muka pengadilan dan tidak akan dilepaskan dalam apa jua keadaan," tegas Rajnath pada Selasa.

Dalam pada itu, Pegawai Kanan Polis Delhi Raja Banthia berkata pihaknya menyiasat insiden terbabit mengikut undang-undang antikeganasan, iaitu Akta Pencegahan Aktiviti Haram.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Amit Shah memberitahu wartawan pada Isnin bahawa pasukan keselamatan sedang menyiasat semua kemungkinan dan ketika ini sukar untuk mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga sampel forensik dianalisis.

Kawalan keselamatan telah diperketat di seluruh New Delhi sementara agensi forensik dan antikeganasan mencari bukti.

Beberapa negeri dan kemudahan penting di seluruh negara turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Tragedi yang berlaku pada petang Isnin berhampiran mercu tanda popular, Red Fort itu mengorbankan sekurang-kurangnya 20 nyawa dan mencederakan 20 individu.

Perdana Menteri Narendra Modi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat. - AFP

 
 

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN