WASHINGTON, 10 April- Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa bahawa China perlu bertanggungjawab jika Moscow memenangi perang di Ukraine, selepas Beijing memperbaharui ikrar kerjasama semasa lawatan diplomat tertinggi Rusia.
Timbalan Setiausaha Negara AS, yang sekian lama dikaitkan dengan penyediaan semula dasar AS terhadap Asia, Kurt Campbell berkata, mengekalkan keamanan dan kestabilan di Eropah adalah misi AS yang paling penting dalam sejarah.
Dengan Moscow memperbaharui pencerobohan Ukraine ketika kebuntuan dalam Kongres AS untuk meluluskan lebih banyak peruntukan ketenteraan kepada Ukraine, Campbell memberi amaran bahawa kemenangan Rusia boleh mengubah keseimbangan kuasa di Eropah, yang tidak boleh diterima.
"Kami sudah memberitahu China secara langsung, jika ini berterusan, ia akan memberi kesan kepada hubungan AS-China. Kami tidak akan berdiam diri dan mengatakan semuanya baik-baik saja.
"Kami melihat ini bukan saja satu set aktiviti unik Rusia atau set aktiviti gabungan yang disokong oleh China tetapi juga Korea Utara, yang bertentangan dengan kepentingan kami," katanya kepada Jawatankuasa Kebangsaan Hubungan AS-China, sebuah kumpulan pendidikan.
Campbell berkata, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, memberi amaran kepada pegawai China terlebih dahulu mengenai perisikan yang menunjukkan Presiden Rusia, Vladimir Putin, akan mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine pada Februari 2022.
"Saya tidak pasti jika mereka benar-benar mempercayai kami sepenuhnya atau berfikir bahawa mungkin ia hanya akan menjadi isu kecil, bukan pencerobohan habis-habisan," katanya.
Beliau berkata China bimbang melihat kemunduran awal Rusia dan berusaha untuk membina semula keupayaan Moscow dalam pelbagai aspek.
"Pada mulanya, ia bersifat sebagai pertahanan. Mereka juga tidak mahu melihat perubahan rejim," katanya.
Tetapi lebih daripada dua tahun kemudian, Rusia hampir dipulihkan sepenuhnya dan kini menimbulkan ancaman besar terhadap Ukraine dan rantau sekitarnya.
AS berulang kali mengancam sekatan jika China mengambil tindakan yang lebih besar untuk menyokong Rusia.
Pegawai AS mengatakan bahawa Rusia semakin beralih kepada senjata dari Korea Utara dan Iran, kedua-duanya di bawah sekatan ketat, untuk menambah baik usaha perangnya di Ukraine. - AFP