fb fb fb fb fb

China perkenal Visa K, tarik bakat teknologi luar

Foto hiasan/REUTERS

BEIJING, 1 Oktober - China memulakan program visa baharu, dikenali sebagai Visa K yang bertujuan menarik bakat dalam bidang sains dan teknologi daripada luar.

Menurut media kerajaan, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha berterusan menjadikan China sebagai peneraju utama dalam sektor tersebut, mengatasi Amerika Syarikat.

"Selepas beberapa negara menarik diri, China merebut peluang ini dan memperkenalkan dasar dengan segera," demikian menurut kenyataan dikeluarkan akhbar People's Daily.

Dilaporkan, Visa K adalah berbeza dengan visa-visa kategori lain kerana ia tidak memerlukan majikan atau entiti tempatan untuk mengeluarkan jemputan kepada pemohon.

"Visa K akan menawarkan lebih banyak kemudahan kepada pemegang dari segi bilangan penyertaan yang dibenarkan, tempoh sah dan tempoh penginapan," kata laporan yang dikeluarkan agensi berita Xinhua.

Pemegang visa dapat "melibatkan diri dalam pertukaran dalam bidang seperti pendidikan, budaya, sains dan teknologi, aktiviti keusahawanan serta perniagaan berkaitan".

Setakat ini umur sebenar, latar belakang pendidikan dan keperluan pengalaman kerja yang diperlukan, masih belum jelas. -AFP

MOHAMAD KHAIRIE KHALID