fb fb fb fb fb

Banjir besar di Odesa ragut sembilan nyawa, termasuk seorang kanak-kanak

Penduduk terjejas diselamatkan akibat cuaca buruk serta banjir besar/REUTERS

ODESA, 1 Oktober - Pasukan penyelamat di Odesa, selatan Ukraine, bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa dan menangani gangguan akibat cuaca buruk serta banjir besar yang telah meragut sembilan nyawa, termasuk seorang kanak-kanak.

Perkhidmatan Kecemasan Negara (SES) menerusi kenyataan di aplikasi Telegram memaklumkan, anggota penyelamat membantu memindahkan penduduk yang terperangkap dalam air, mengalihkan kenderaan, mengepam air dari bangunan serta menemukan seorang kanak-kanak perempuan awal pagi tadi yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Menerusi rakaman video yang dikeluarkan SES, menunjukkan penumpang dipindahkan dari sebuah bas yang ditenggelami air serta kenderaan dibawa keluar dari kawasan banjir.

Datuk Bandar Odesa, Hennadiy Trukhanov berkata, hujan yang turun selama tujuh jam bersamaan dengan jumlah hujan bagi tempoh hampir dua bulan, sekali gus menyebabkan banjir besar melanda bandar itu.

Menurut SES setakat ini, sejumlah 362 orang berjaya diselamatkan dalam operasi yang masih diteruskan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI