fb fb fb fb fb

Glasier Switzerland susut 3%, catat penyusutan keempat terbesar dalam rekod

Keadaan glasier di Turtmann, Switzerland/ REUTERS

TURTMANN, 1 Oktober - Glasier di Switzerland mencatatkan penyusutan ketara sepanjang 12 bulan lalu dengan kehilangan kira-kira tiga peratus daripada jumlah keseluruhan jisim aisnya, menjadikan ia sebagai penyusutan keempat terbesar dalam sejarah.

Badan pemantau GLAMOS dalam laporan tahunan bersama Suruhanjaya Pemerhatian Kriosfera Switzerland memaklumkan, kekurangan salji pada musim sejuk lalu – khususnya di timur laut Banjaran Alps Switzerland – diikuti dengan gelombang haba pada Jun tahun ini, mempercepat kadar pencairan ais tersebut.

"Ini merupakan jumlah yang amat besar," kata Pengarah GLAMOS, Matthias Huss, yang menjelaskan laporan berkenaan merangkumi tempoh Oktober 2024 hingga September 2025.

Walaupun kadar pencairan tahun ini tidak setinggi 2022 (5.9 peratus) dan 2023 (4.4 peratus) daripada jumlah ais, Huss menegaskan trend penyusutan berterusan amat membimbangkan.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan di Glasier Rhone di Valais, Switzerland kini merekodkan dekad terburuk dalam sejarah apabila satu per empat jumlah ais glasier hilang sejak 2015.

Glasier Rhone, pernah menjadi glasier terbesar di Eropah semasa Zaman Ais, kini menyusut dengan pantas, kehilangan purata 1.5 meter ketebalan ais sepanjang tahun ini.

Menurut GLAMOS, sebanyak 100 glasier telah lenyap antara 2016 hingga 2022, dan kebanyakan glasier dijangka hilang sepenuhnya menjelang akhir abad ini.

"Malangnya, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk menyelamatkan glasier ini. Mereka akan terus menyusut walaupun iklim berjaya distabilkan hari ini," kata Huss.

Namun, sekiranya pelepasan karbon dioksida global dapat dikurangkan kepada sifar dalam tempoh 30 tahun akan datang, sehingga 200 glasier di altitud tinggi berpotensi diselamatkan.

Laporan itu turut menyebut bahawa glasier di bawah paras 3,000 meter dari aras laut paling terjejas tahun ini. Antara yang paling teruk ialah Glasier Silvretta di timur laut Switzerland, yang mengalami pencairan besar berikutan salji paling sedikit dalam tempoh 100 tahun.

Huss turut memberi amaran bahawa penyusutan glasier boleh menjejaskan kestabilan pergunungan, sekali gus mencetuskan runtuhan batu dan ais, seperti insiden runtuhan glasier di Blatten, Valais pada Mei 2025 yang memusnahkan seluruh perkampungan tersebut.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI