fb fb fb fb fb

Konvoi GSF bantuan Gaza hampir masuk zon merah

Kapal Alma (foto kecil) kini berada sekitar 200 kilometer dari Gaza — imej koordinat 32°4.077′ U, 32°22.666′ T menjadi bukti perjalanan terus digerakkan meskipun diancam tentera Israel/Laman web Flotilla Tracker (https://globalsumudflotilla.org/tracker/)

TUNIS, 1 Oktober- Konvoi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza kini berada kira-kira 200 kilometer dari wilayah bergolak itu dan dijangka memasuki zon merah dalam tempoh 24 jam.

Menurut GSF, provokasi Israel dikesan awal pagi tadi ketika armada 45 kapal itu menghampiri perairan Mesir — laluan yang pernah menjadi lokasi pemintasan beberapa flotila bantuan sebelum ini.

GSF yang membawa aktivis dan ahli politik antarabangsa termasuk pejuang alam sekitar Sweden, Greta Thunberg, serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela, berlepas dari Sepanyol bulan lalu dengan misi memecah sekatan Israel ke atas Gaza yang kini berdepan kebuluran menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Salah sebuah kapal utama konvoi, Alma, dilaporkan "dikepung secara agresif" oleh kapal perang Israel selama beberapa minit sebelum kapal sama melakukan tindakan provokasi taktikal terhadap kapal Sirius.

Ahli Parlimen Perancis, Marie Mesmeur, yang berada di atas kapal Sirius memaklumkan beliau melihat sekurang-kurangnya dua kapal tidak dikenali berada dalam jarak sangat dekat, selain sebuah bot peronda tentera dengan lampu sorot besar.

"Sepanjang insiden itu, semua radar dan komunikasi internet terputus," katanya kepada AFP.

Dalam kenyataan lain di platform X, penganjur berkata mereka kekal berwaspada ketika memasuki kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah, di mana flotila bantuan terdahulu pernah dipintas atau diserang.

Israel sebelum ini menggagalkan dua percubaan menghantar bantuan melalui laut ke Gaza, masing-masing pada Jun dan Julai. Pada Jun lalu, 12 aktivis termasuk Thunberg ditahan ketika berada 185 kilometer dari Gaza.

Setakat pukul 5.30 pagi GMT (1.30 tengah hari waktu Malaysia), GSF melaporkan kedudukan mereka di utara pantai Mesir dan menghampiri sempadan 120 batu nautika dari wilayah Palestin.

"Kami terus belayar tanpa gentar terhadap ancaman dan taktik intimidasi Israel," menurut kenyataan konvoi itu yang turut membawa Ahli Parlimen Eropah Perancis-Palestin, Rima Hassan, serta bekas Datuk Bandar Barcelona, Ada Colau. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA