JIUQUAN, 26 Oktober- China menghantar tiga orang angkasawannya ke stesen angkasa Tiangong hari ini dalam misi terbaharu sebagai persediaan negara itu untuk menghantar kru ke bulan menjelang 2030.
Shenzhou-17 berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China pada pukul 11.14 pagi waktu tempatan, membawa Tang Hongbo, 48, dan dua lagi angkawasan muda iaitu Tang Shengjie, 33, dan Jiang Xinlin, 35.
Ia merupakan misi kedua Tang Hongbo ke stesen itu dan kali ini beliau mengetuai pasukan dengan ditemani Tang Shengjie serta Jiang Xinlin yang membuat pelayaran angkasa lepas sulung.
Mereka bakal menggantikan tiga anggota kru Shenzhou-16 yang berada di stesen Tiangong selama hampir lima bulan.
Ketiga-tiga mereka dijadual mendarat ke bumi minggu depan.
Ekonomi kedua terbesar di dunia itu telah 'mengepam' berbilion dolar ke dalam program angkasa lepas kendalian tenteranya dalam usaha mengejar Amerika Syarikat dan Rusia dalam bidang tersebut. -AFP