fb fb fb fb fb

Ratusan Yahudi berhimpun gesa keadilan untuk Palestin

FOTO REUTERS

Washington DC, 26 Oktober- Ratusan penganut Yahudi dan sekutunya mengadakan perhimpunan di sini, Amerika Syarikat, bagi menuntut gencatan senjata serta keadilan bagi rakyat Palestin yang ditindas Israel.

Dalam perhimpunan semalam, mereka membawa sepanduk dan bendera Palestin serta melaungkan 'gencatan senjata sekarang'.

Konflik terbaharu di Gaza bermula apabila kumpulan pejuang Hamas memulakan Operasi Taufan Al-Aqsa -- serangan mengejut pelbagai serampang pada 7 Oktober lalu termasuk pelancaran roket bertubi-tubi serta penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara.

Serangan Hamas itu sebagai tindakan balas terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh penjajah Israel terhadap rakyat Palestin.

Tentera zionis kemudian melancarkan pengeboman tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza.

Lebih 7,900 orang terbunuh dalam konflik itu termasuk sekurang-kurangnya 6,546 rakyat Palestin dan 1,400 warga Israel.

Seramai 2.3 juta penduduk Gaza telah kehabisan makanan, air, ubat-ubatan dan bahan api, dengan konvoi bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza hanya membawa sebahagian kecil daripada apa diperlukan. -Reuters

SITI AISHAH BINTI MD ISA