BEIJING, 5 Disember-China pada Khamis mendesak Amerika Syarikat untuk berhenti menghantar isyarat salah berhubung isu Taiwan.
Ia susulan pengumuman bahawa Speaker Dewan Perwakilan AS dari Parti Republikan, Mike Johnson, mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Taiwan, Lai Ching-te.
Panggilan berkenaan disahkan oleh Pejabat Presiden Taiwan kepada AFP, tetapi butiran perbincangan tidak didedahkan.
Lai kini berada di Guam, wilayah Amerika Syarikat, dalam lawatan ke Pasifik yang telah menimbulkan kemarahan China.
Beijing melihat Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya tidak menolak penggunaan kekerasan untuk mengawal pulau itu pada masa akan datang.
Kementerian Luar China menggesa Washington agar menunaikan janji pemimpin Amerika untuk tidak menyokong kemerdekaan Taiwan dan menghentikan campur tangan dalam hal ehwal dalaman China, selain berhenti menghantar isyarat salah kepada kumpulan pemisah Taiwan
Jurucakap Lin Jian berkata, AS perlu mengakui bahaya besar tindakan pemisahan Taiwan terhadap keamanan dan keselamatan di Selat Taiwan.
"Isu Taiwan adalah inti kepada kepentingan teras China," tegasnya dalam taklimat media mingguan, sambil menambah bahawa China akan mengambil langkah tegas dan berkesan demi mempertahankan kedaulatannya.
Walaupun AS tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, ia telah mengatur perjanjian untuk menyediakan bantuan pertahanan kepada pulau tersebut.
Hubungan erat tersebut sering mencetuskan ketegangan dengan Beijing, yang menganggap tindakan tersebut sebagai campur tangan dalam hal ehwal dalaman mereka.
Sementara itu.dalam kenyataan berasingan pada Khamis, Kementerian Luar China mengumumkan sekatan terhadap beberapa syarikat dan individu AS yang terlibat dalam penjualan senjata kepada Taiwan.
Sekatan itu menyasarkan 13 syarikat yang menghasilkan dron, sistem udara tanpa pemandu, dan produk ketenteraan lain, termasuk enam eksekutif tertinggi daripada syarikat seperti Raytheon dan BAE Systems.
Syarikat-syarikat tersebut akan menghadapi pembekuan aset mereka di China serta larangan perdagangan dengan firma-firma China.
Eksekutif terlibat juga akan dilarang memasuki China, termasuk Hong Kong dan Macau.
Tindakan itu menambah lagi ketegangan dalam hubungan antara Beijing dan Washington, yang telah sedia tegang akibat isu perdagangan, teknologi, dan keselamatan serantau.-AFP.